News and Information
7 Dec
Press Release
Source: Berita Harian Online
By: Rosli Abdul Jalil
Published: 07/12/2007
Timur: Peralatan mampu ke Timur Tengah
KUANTAN: Syarikat Puncak Generasi (M) Sdn Bhd, satu-satunya pengeluar peralatan suis yang mendapat pengiktirafan Persatuan Lembaga Ujian Litar Pintas (Asta), yakin produk keluarannya mampu menembusi pasaran Timur Tengah, menjelang tahun depan.Sijil pengiktirafan Asta diperoleh syarikat itu selepas peralatan suis keluarannya berjaya melepasi ujian di Australia, tahun lalu.
Selain itu, Puncak Generasi turut menerima sijil ISO 9001:2000 dua tahun lalu dan mula melakukan promosi secara agresif melalui laman web syarikat bersekutunya di www.grandspektra.com.my
Ditubuhkan pada Julai 1991, syarikat itu mempunyai kepakaran dalam pengeluaran pemasangan peralatan suis bervoltan rendah (LV) seperti papan suis elektrik, panel pengagihan, panel kawalan dan kotak litar.
Ia juga menyediakan perkhidmatan dan pengubahsuaian peralatan suis.
Pengarah Puncak Generasi, Fu Toi Ting menyifatkan kejayaan memperoleh sijil ASTA sebagai satu pencapaian penting kerana secara langsung mendorong Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi kelulusan syarikat itu mengeluarkan produk kategori ketiga, iaitu pemasangan suis gear pelbagai kuasa.
Fu, 59, bersama rakannya, Tan Ah Chai menubuhkan syarikat itu dengan membuka kilang pemasangan suis di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan, sejak 16 tahun lalu.
Beliau sudah terbabit dalam perniagaan keluarga dan berpengalaman lebih 30 tahun.
Fu berkata, syarikat itu kini sedang mengenal pasti rakan kongsi tempatan dan luar negara sebagai persediaan memasarkan produk keluarannya ke luar negara.
“Saya yakin tidak menghadapi masalah kerana produk keluaran syarikat kami memenuhi piawaian antarabangsa.
“Malah, kini peralatan suis keluaran syarikat kami sudah dipasang oleh kontraktor Malaysia bagi projek pembinaan di Dubai,” katanya.
Setakat ini, katanya syarikat itu menerima banyak pertanyaan daripada luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, China, Bahrain dan India.
Beliau berkata kejayaan syarikat itu adalah hasil sokongan 25 kakitangan yang berdedikasi dan penggunaan peralatan moden.
“Kami juga melakukan ujian dan kawalan kualiti bagi memastikan produk keluaran menepati kehendak pelanggan,” katanya.
Setakat ini, katanya syarikat membelanjakan lebih RM1.5 juta bagi melengkapkan loji pengeluarannya dengan peralatan terkini, termasuk jentera penebuk AMADA yang berharga RM1 juta.
Fu menjangkakan pendapatan syarikat itu meningkatkan kepada RM2.5 juta tahun ini berbanding RM2 juta tahun lalu.
Popularity: 61%
Tags: ASTA Berita Harian Business Industri Industries Syarikat Timur Tengah

Leave a reply