News and Information
8 Dec
Source: Utusan Malaysia (Timur)
Published Date: 2007-12-8
Puncak Generasi beralih ke pasaran timur tengah
Kuantan 7 Dis. - Syarikat pembuatan peralatan kotak suis gear elektrik, Puncak Generasi (M) Sdn Bhd. yakin akan dapat menembusi pasaran luar negara khususnya di Asia Barat, pada tahun depan.
Pengarahnya, Fu Toi Ting, berkata, keyakinan itu ekoran kejayaan syarikatnya menghantar peralatan suis gear bervoltan rendah (LV) untuk ujian sepenuhnua di Australia, pada tahun lepas.
Kata beliau, syarikatnya yang mengeluarkan produk termasuk peralatan kotak suis gear dan panel kawalan elektrik turut menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian produk tersebut.
“Pada masa ini, sebuah syarikat kontraktor tempatan sudah memulakan operasinya memasang dua peralatan suis gear di projek pembinaan di Dubai,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, kata beliau, pihaknya turut menerima banyak pertanyaan mengenai produk yang dihasilkan itu daripada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, China, Bahrain, dan India.
“Kini kami sedang mengenal pasti rakan kongsi tempatan dan asing untuk memasarkan produk ke luar negara,” katanya.
Mengenai standard produk yang dihasilkan, beliau memberitahu ia tidak akan menjadi satu masalah kerana produk mereka adalah menyamai tahap antarabangsa.
Tambah beliau, Puncak Generasi mendapat sijil ISO9001:2000 dua tahun lepas selain sijil daripada Pesatuan Lembaga Ujian Lintar Pintas (ASTA).
Beliau berkata dengan adanya ASTA, ia merupakan kejayaan yang bermakna kepada syarikatnya yang mana sekali gus mendapat pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menghasilkan produk suis gear bervoltan rendah.
Kata beliau lagi, syarikatnya yang telah beroperasi selama 16 tahun di kawalan industri Semambu di sini adalah satu-satunya syarikat yang memiliki sijil ASTA bagi kawasan pantai timur.
Beliau berkata dalam mempertingkatan produk mereka, pihak syarikat telah membeli mesin baru dengan kos melebihi RM 1.5 juta.
Beliau menjangkakan pendapatan syarikat meningkat kepada RM 2.5 juta pada tahun ini, berbanding RM 2 juta pada tahun sebelumnya.
Popularity: 100%
Tags: Business E50 East Coast Enterprise 50 Investment Market Newspaper Pasaran Timur Tengah Quality Award Sponsors Utusan Malaysia

Leave a reply